
Hargai Kejujuran Tok Mat
1. Saya ucapkan terima kasih kepada Tok Mat ( Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO) atas jawapannya berhubung persoalan rundingan kerusi PH dan BN untuk pilihanraya Negeri Melaka dan Johor. Secara tenang Tok Mat menyatakan bahawa ianya tidak mungkin dilakukan kerana keputusan samada nak bersama PH atau bersendirian masih belum dibuat. Kalau ikut kenyataan Akmal pula, dia lebih cenderung untuk bersama PAS/PN!
2. Jawapan sebegini dari Tok Mat jauh lebih matang dan ikhlas berbanding jawapan-jawapan sebelum ini.
3. AMANAH mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan, demi kepentingan Negara, namun mengakui pilihan diletak di tangan BN.
4. Kami melihat kerjasama yang diasaskan selepas PRU-15 sangat baik, penuh dengan tolak-ansur dan keikhlasan. Tiada sebab BN perlu menolak kerjasama ini. Agak hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya, kerana tiada unsur khianat atau paksaan/bully sepanjang kita bekerjasama. Lainlah kalau kami seperti PAS dan PN yang masyhur dengan khianat dan pemaksaan.
5. Namun demikian, berdasarkan jawapan Tok Mat, AMANAH kena bersiap-sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan.
6. Teringat saya akan kata-kata pegawai ISA ketika saya ditahan dahulu, “pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu”. Begitulah keadaannya dengan BN sekarang. Walaupun dilayani dengan baik semasa kerjasama perpaduan ini, terpulang pada BN samada hendak teruskan atau sebaliknya.
7. Bagi AMANAH, kami terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN. Tapi pada masa sama AMANAH akan gerak jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Akmal. Ini bukan amaran atau cabaran, ianya sekadar “statement of fact” atau menyatakan hakikat.
HAJI KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi AMANAH
Pada 20 Februari 2026