Pertikai Kewibawaan UIAM: PAS Digesa Mohon Maaf

Pertikai Kewibawaan UIAM: PAS Digesa Mohon Maaf

KENYATAAN MEDIA
PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH)

PERTIKAI KEWIBAWAAN UIAM: PAS DIGESA MOHON MAAF KEPADA WARGA UIAM DAN HORMATI PERANAN INSTITUSI ILMU

1. Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam keras kenyataan Setiausaha Agung PAS yang mempertikai kewibawaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menjalankan kajian berkaitan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

2. UIAM bukanlah sebuah universiti yang terlalu “junior” seperti didakwa, sebaliknya telah ditubuhkan pada tahun 1983, menjadikannya sebuah institusi pengajian tinggi awam yang telah berkhidmat lebih empat dekad kepada negara.

3. Sepanjang tempoh tersebut, UIAM telah melahirkan ribuan graduan, sarjana dan profesional dalam bidang undang-undang, pentadbiran awam, ekonomi, perancangan bandar dan dasar awam, termasuk mereka yang kini berkhidmat kepada negara sejak puluhan tahun, bukan institusi picisan yang boleh dipersendakan demi kepentingan politik sempit.

4. UIAM hanya beberapa tahun lebih muda daripada universiti-universiti tempatan lain, dan tidak pernah dianggap tidak berwibawa. Malah dalam bidang perundangan, tadbir urus dan dasar awam, UIAM diiktiraf sebagai pusat rujukan utama di peringkat nasional dan antarabangsa.

5. Tindakan mempertikaikan UIAM ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan sikap politik yang anti-ilmu, anti-akademik dan anti-wacana berfakta.

6. AMANAH menegaskan bahawa kajian akademik dijalankan berasaskan kaedah saintifik, kerangka analisis dan kebebasan akademik, agar ia bebas dari arahan atau kecenderungan mana-mana pihak berkepentingan.

7. Kenyataan SU Agong PAS ini menimbulkan persoalan sama ada PAS hanya mengiktiraf kepakaran akademik apabila ia menguntungkan mereka, dan menolaknya apabila tidak. Sekaligus menimbulkan keraguan terhadap reputasi institusi akademik yang dihormati.

8. Sikapnya meragui kewibawaan UIAM juga dilihat sebagai cubaan melemahkan peranan universiti dan dapatan kajian ilmiah dalam menyumbang kepada pembentukan dasar awam dan reformasi institusi negara.

9. AMANAH mengingatkan bahawa merendahkan martabat mana-mana universiti awam sebelum kajian bermula hanya menguatkan persepsi bahawa PAS takut kepada fakta, data dan perbahasan terbuka malah boleh membina persepsi negatif yang menghakis keyakinan rakyat terhadap ilmu, kepakaran tempatan dan masa depan negara.

10. Isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah isu reformasi tadbir urus bandar yang serius dan memerlukan perbincangan matang, terbuka dan berfakta, bukan polemik politik sempit.

11. Justeru, AMANAH menyeru PAS agar menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dan memohon maaf kepada warga UIAM, menghormati peranan institusi ilmu serta kembali berpolitik secara bertanggungjawab, beretika dan berasaskan fakta.

*YB Azli Bin Yusof*
Pengerusi Biro Pendidikan dan Pemerkasaan Masyarakat
Parti Amanah Negara
https://www.facebook.com/share/1BqJQygNQC/

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )