
Pilihan Raya Umum ke-16 Serentak Demi Penjimatan Negara
KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN PULAI
12 Mac 2026
PILIHAN RAYA UMUM KE-16 SERENTAK DEMI PENJIMATAN NEGARA
Perkembangan konflik di Timur Tengah berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga dunia seperti Selat Hormuz yang menjadi laluan utama bekalan minyak dunia.
Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) secara serentak melibatkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjimatkan kos serta mengurangkan ketidaktentuan politik.
Dalam konteks ini, sekiranya PRU16 dirancang secara strategik, pilihan raya Parlimen dan beberapa negeri termasuk Melaka serta Johor boleh dipertimbangkan untuk diadakan lebih awal dan secara serentak.
Pendekatan ini mempunyai beberapa kelebihan utama:
i. Penjimatan kos yang besar kepada negara kerana pilihan raya tidak perlu diadakan secara berasingan.
ii. Mengurangkan keletihan politik (political fatigue) akibat pilihan raya yang kerap.
iii. Memberikan mandat yang lebih jelas dan stabil kepada kerajaan di semua peringkat untuk memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, negara memerlukan kestabilan politik, disiplin fiskal dan perancangan strategik agar kita lebih bersedia menghadapi sebarang kesan daripada krisis global.